SEORANG wanita terkejut apabila bekas suaminya menuntut rumah miliknya yang bernilai RM1.3 juta selain kereta jenis Audi selepas tiga tahun mereka berpisah.
Bekas suaminya yang boleh disifatkan ‘tidak tahu malu’ kerana kediaman itu milik bekas isterinya sebelum mereka berkahwin. Lelaki itu juga tidak pernah membantu bekas isterinya membayar ansuran bulanan.
Kisah itu diceritakan peguam syarie, Fahmi Ramli berhubung nasib eksekutif pemasaran wanita yang berdepan tuntutan bekas suami selepas mereka bercerai.
“Perkahwinan selama tujuh tahun terputus disebabkan lelaki itu dibuang kerja dan tidak pernah berusaha untuk mencari kerja lain selama lebih kurang setahun.
“Jadi dia terpaksa tanggung makan minumnya dan tiga anak. Bahkan, rumah yang mereka tinggal juga dibelinya sebelum berkahwin. Segala bil elektrik dan air ditanggung sepenuhnya oleh wanita ini.
“Jadi, mereka bercerai atas persetujuan bersama. Anak-anak berada di bawah jagaannya, manakala bekas suami pulang ke kampung di Kedah dan tidak pernah ambil tahu tentang nafkah anak-anak apatah lagi nafkah edah,” katanya pada hantaran Facebook.
Beliau bercerita, pendapatan wanita tersebut lebih daripada sekadar cukup untuk dirinya dan anak-anak sekali gus tidak kisah bekas suaminya tidak memberikan nafkah.
“Cuma, dia terkejut bila ada seorang lelaki menghantar saman daripada Mahkamah Tinggi Syariah. Alangkah terkejutnya selepas tiga tahun bercerai tanpa sebarang berita, bekas suaminya memfailkan tuntutan harta sepencarian.
“Harta yang dituntut adalah kereta Audi miliknya dan sebuah rumah yang wanita ini menetap sekarang. Nilainya adalah RM1.3 juta. Patutlah bekas suami tuntut, rumah di Pulau Pinang mahal.
“Bekas suami nak tuntut rumah yang bekas isteri ini beli sebelum kahwin. Padahal kata wanita ini, bekas suaminya tak pernah keluarkan satu sen pun untuk bayar bulan rumah itu,” katanya.
Sementara itu, Fahmi menjelaskan, harta yang dibeli sebelum mereka kahwin, tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian kerana harta sepencarian ialah yang dibeli bersama atau salah seorang suami atau isteri dalam tempoh perkahwinan.
Mengikut seksyen 122 (5) Enakmen Keluarga Islam Pulau Pinang, untuk menjadikan rumah itu sebagai harta sepencarian, bekas suami mesti mempunyai faktor ‘memajukan; rumah tersebut iaitu sebagai contoh, mengeluarkan wangnya untuk ‘renovate’ rumah.
Sumber gambar – Berita Harian | Sumber laporan – Kosmo! Online