Bekas penyerang terkenal JDT & KL City, Safee Sali bersara dari dunia bola sepak

SAFEE Sali akhirnya mengumumkan persaraannya selepas 19 tahun beraksi di dalam dunia bola sepak. Pengumuman itu dibuat oleh beliau dalam satu sidang media khas di Sofitel Kuala Lumpur, Damansara.

“Keputusan yang saya ambil ini bukanlah sesuatu yang mudah. Walaupun saya tiada kecederaan serius yang menghalang saya untuk terus beraksi di padang, saya sudah tidak dapat melihat diri saya bersaing secara kompetitif dengan pemain lain terutamanya di bahagian serangan. Saya rasa persaraan saya ini adalah satu langkah yang lebih baik.”, kata bekas penyerang JDT dan KL City tersebut.

Safee yang terkenal di kalangan peminat bola sepak tanahair memberitahu media yang persaraannya dari dunia bola sepak bukanlah bermakna penglibatannya dalam sukan itu sudah berakhir.

“Saya mempunyai perancangan untuk membuka akademi bola sepak dan padang bola saya sendiri, selain bertugas sebagai pundit bersama Astro Arena.”, katanya lagi apabila ditanya tentang rancangan masa depannya di sidang media tersebut.

Safee yang sedang dalam proses menyiapkan dokumentari tentang hidup dan perjalanan kariernya di dalam dunia bola sepak juga merancang untuk membuka saluran YouTube Sports Tarik untuk dia kongsikan pengalamannya dan pelbagai info berkaitan bola sepak untuk peminat peminat beliau.

Safee amat disanjungi penyokong bola sepak Malaysia kerana telah membantu Harimau Malaya menjulang Piala AFF pada tahun 2010. Selain itu, beliau juga pernah memenangi Piala Malaysia bersama JDT dan telah membantu KL City menjadi naib juara Piala AFF musim lepas.

Sumber gambar – Wikipedia | Sumber laporan – MakanBola.com