Bekas Menteri Kewangan jadi sukarelawan di PPV

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sempat mengisi waktu lapang menawarkan diri sebagai sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (PPV KLCC) hari ini.

Beliau menerusi perkongsian di akaun Facebooknya berkata, sebelum ini ada berhasrat untuk sertai kumpulan tersebut namun baru sekarang mempunyai kesempatan waktu.

Meskipun dikenali ramai namun gerak-gerinya nyata tidak kekok apabila ditugaskan membantu pengunjung terdiri daripada warga asing dan warga emas yang tidak begitu mahir dengan aplikasi mudah alih.


“Tugasan saya ialah untuk bantu pengunjung yang walk-in mendapatkan vaksinasi. Kebanyakan mereka warga asing dan warga emas yang tidak berapa mahir dengan aplikasi mudah alih, jadi kena tunjuk mereka cara register,” katanya ringkas.

Selain itu, Tengku Zafrul juga ditugaskan untuk menunjuk arah laluan bagi memudahkan orang ramai menerima vaksinasi.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak orang ramai mendaftarkan diri sebagai sukarelawan bagi membantu petugas barisan hadapan.

“Orang ramai boleh layari myvac.com.my untuk mengetahui lebih lanjut cara menjadi sukarelawan dan mendaftar sebagai sukarelawan,” katanya lagi.