Seorang bayi lelaki berusia setahun berjaya diselamatkan selepas terkunci di dalam kereta selama kira-kira 20 minit di kawasan parkir sebuah apartmen di Jalan Bundusan, Penampang, Sabah, pada Khamis.
Menurut Penolong Penguasa Bomba Riki Mohan Singh Ramday dari Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.30 petang.
“Sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat mangsa.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa, seorang bayi lelaki berusia setahun, didapati terkunci di dalam kereta jenis Proton Saga.
“Pasukan bomba bertindak membuka pintu kereta yang terkunci menggunakan peralatan khas.
“Pintu kereta tersebut berjaya dibuka dan bayi lelaki itu dalam keadaan selamat.
“Mangsa diserahkan kepada ahli keluarganya dan operasi berada dalam keadaan terkawal pada pukul 6.50 petang,” katanya ketika dihubungi Berita Harian pada petang Khamis.
Operasi tersebut dilaporkan tamat selepas pihak bomba memastikan tempat kejadian dalam keadaan rapi dan selamat.