SEORANG wanita terkejut apabila jirannya menjumpai bayi lelaki mempunyai kesan berdarah tanpa tali pusat yang ditinggalkan di atas papan di bawah sebatang pokok berhampiran rumahnya di Kampung Peramu Tanjung Lumpur, Kuantan.
Saksi kejadian itu, Norhazilawati Nasron, 31, berkata, kejadian terbabit disedarinya selepas ibu mertua memanggil selepas jirannya yang dikenali Mok Ti telah menjumpai bayi tersebut kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Sabtu, lapor Berita Harian.
Menurutnya, bayi terbabit ditemui tanpa sebarang pakaian ataupun alas.
”Mok Ti bila jumpa (bayi) itu terus panggil ibu mentua saya dan saya diberitahu (oleh ibu mertua) mengenai penemuan bayi tersebut.
“Jadi, saya pun keluar rumah dan nampak orang ramai dan Mok Ti sudah angkat, selamatkan dan selimutkan bayi dengan kain batik.
”Kami sendiri tidak sedar bila sebenarnya bayi ini ditinggalkan, sama ada malam tadi atau hari ini. Tapi kalau tengok kesan darah sudah kering pada tangan, tali pusat juga sudah digunting. Saya lihat kerengga hinggap kepala bayi itu dan ada kesan gigitan pada badannya,” katanya pada Sabtu.
Norhazilawati memberitahu, ini kali pertama dia melihat kes bayi dibuang di hadapan mata kerana sebelum ini hanya menyaksikan melalui berita dan gambar di akhbar.
“Kita biasa dengar berita dan tengok gambar, tapi kali ini jumpa kes orang buang bayi ada di depan mata. Memang tergamam dan terkejut,” luahnya.
Sumber : Berita Harian | Gambar : Pinterest