SEORANG bayi perempuan 18 bulan yang berdepan nasib malang apabila ditikam bapanya sendiri di sekitar Subang Jaya Sabtu lalu kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masrakat (JKM).
Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, bayi tersebut bagaimanapun masih mendapatkan rawatan di wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur dan dilaporkan stabil.
Ujar Abd Khalid, punca kejadian tersebut adalah berikutan tekanan yang dihadapi suspek yang berpisah dengan isterinya selain berada di bawah pengaruh dadah.
Difahamkan, bekas isteri suspek itu telah dimaklumkan berhubung kejadian dan masih berhubung selain tinggal berdekatan dengan rumah nenek mangsa.
Sabtu lalu, dalam kejadian sekitar jam 4.20 petang itu, suspek telah menikam perut bayi tersebut menggunakan pisang pemotong roti.
Suspek yang berusia 27 tahun itu bagaimanapun berjaya diberkas polis sebaik sahaja insiden tersebut berlaku.
Suspek yang juga merupakan bapa mangsa, direman selama lima sehingga Khamis ini bagi tujuan siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah. – TheNews Malaysia