Bapa perkosa anak kandung sehingga mati akibat ketagih tonton filem lucah

SEORANG bapa di Indonesia ditahan setelah dipercayai ‘meratah’ anak perempuannya sendiri yang berusia 8 tahun hingga mati pada 18 Mac lalu di Semarang, Jawa Tengah.

Suspek berusia 41 tahun yang hanya dikenali sebagai WD ditahan polis selepas didapati wujud kecederaan pada kemaluan dan dubur mangsa yang merupakan anak kandungnya, lapor Astro AWANI.

Suspek turut mengaku melakukan perbuatan itu akibat tidak dapat menahan nafsu setelah sering menonton video lucah, lapor Kumparan News.

Menurut polis, ketika kejadian, mangsa yang tinggal bersama ibu kandung diminta untuk pergi ke rumah suspek yang juga ayah kandungnya di daerah Tlogosari, Pedurungan.

Difahamkan suspek dan ibu mangsa sudah bercerai 5 tahun lalu, namun mangsa dan suspek kerap bertemu.

“Suspek merupakan bapa kandung mangsa.

“Yang melaporkan kejadian ialah ibu kandung mangsa atau bekas isteri suspek,” kata polis.

Ketika berada di rumah suspek, mangsa yang ketika itu tidak sihat diberikan ubat lalu tertidur.

Saat mangsa terbaring di sisinya, suspek mula melakukan tindakan tidak sewajarnya kepada anak kandungnya itu.

Difahamkan mangsa yang tidak bermaya cuba menolak namun tidak mampu melawan.

Akibat daripada tindakan oleh suspek, mangsa dilapor mengalami sawan.

Melihat keadaan mangsa, suspek bergegas membawa anaknya ke sebuah klinik sebelum dirujuk ke hospital.

Namun menurut polis mangsa ketika itu telah pun meninggal dunia.

Mayat mangsa akhirnya dikebumikan pada Sabtu, 19 Mac lalu.

Ibu mangsa yang tidak berpuas hati membuat laporan polis susulan keterangan terdapat luka di bahagian kemaluan dan dubur mangsa.

Bertindak daripada laporan itu, polis memutuskan untuk membongkar semula dan mengautopsi mayat mangsa pada hari sama.

“Dalam surat keterangan doktor, ada kematian kurang wajar dengan tanda kekerasan di kemaluan dan dubur.

“Dari situ, kita buat laporan polis, sementara keadaan mangsa sudah dimaklumkan,” kata polis.

Suspek ditahan setelah polis mendapati ada bukti bahawa kematian kanak-kanak itu diakibatkan oleh kekerasan seksual.

Suspek mengakui segala perbuatan kejinya serta mendedahkan dia sudah tiga kali memperkosa mangsa kerana ketagihan menonton filem lucah.

“Terpengaruh video lucah. Sudah tiga kali memperkosa mangsa.

“Pertama dua minggu lalu, seminggu, selepas kejadian. Ya, ada pemaksaan, mangsa menolak, saya paksa,” kata suspek.

Suspek akan dituduh di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak yang boleh membawa hukuman penjara 15 tahun.

Polis juga tidak menolak kemungkinan suspek bakal dikenakan hukuman tambahan.

Sumber: Astro AWANI