SEORANG remaja lelaki berusia 14 tahun maut selepas bermain banjir bersama adik lelakinya di belakang rumah mereka di Bandar Cheneh Baru, Kemaman pada Isnin.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, mangsa, Muhammad Alimi Hashim, 14, gagal diselamatkan biarpun sudah menerima bantuan rawatan awal oleh anggota bomba, lapor Kosmo.
Ketua Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azman Alias berkata, sebelum kejadian, Muhammad Alimi dikatakan bermain di kawasan limpahan banjir sedalam dua meter bersama adiknya.
“Sewaktu sedang berseronok bermain, pelajar tingkatan dua Sekolalah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheneh itu dikatakan tiba-tiba lemas.
“Adik lelaki mangsa sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing kawasan limpahan banjir untuk meminta bantuan,” katanya kepada Kosmo.
Azman berkata, salah seorang kakaknya, Nurshahiza, 21, cuba menyelamatkan mangsa dengan terjun ke kawasan limpahan banjir itu tetapi turut hampir lemas sebelum diselamatkan orang ramai.
Tambah beliau, anggota bomba yang dimaklumkan kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian sebelum memberi bantuan pernafasan awal.
“Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Cheneh di sini sebelum pegawai perubatan bertugas mengesahkan remaja itu sudah meninggal dunia.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk tindakan lanjut,” katanya.
Azman menasihat penduduk agar memantau pergerakan anak-anak tidak bermain banjir kerana boleh membahayakan keselamatan.
Sumber: Kosmo