Seorang kanak-kanak berusia enam tahun terpaksa dikejarkan ke hospital kerana matanya dimasuki cecair asid yang bocor dari paip penghuni di tingkat atas.
Memetik laporan The Reporter, Reza Samat, bapa saudara mangsa, yang berkongsi megnenai kejadian itu di Twitter berkata, kejadian itu berlaku di kediaman adiknya, di Kepong.
“Apartment adik saya di Kepong. Orang di tingkat atas simbah asid dalam paip. Tiba-tiba paip mengembang dan bocor, menghasilkan bau belerang yang sangat kuat.
“Kebetulan ketika itu, anaknya berusia enam tahun sedang mandi dan tiba-tiba menjerit ada ‘asid’ memasuki matanya,” katanya dalam perkongsian itu.
Menurut Reza, anak buahnya tidak mengalami kecederaan teruk, namun dia sedang dipantau oleh doktor.
“Selepas kena, saya terus bawa mangsa pergi ke Jabatan Kecemasan. Dia kata badannya terasa gatal-gatal. Adik saya dah ketuk pintu jiran tingkat atas itu dan dia mengaku ada menuang asid. Tetapi dia mungkin hanya berniat mahu membersihkan saluran paip yang tersumbat.”
Kes yang seumpama pernah berlaku pada awal Februari lalu di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun melecur hampir keseluruhan badannya disebabkan asid dalam kejadian letupan paip di kediaman.
Ketika itu, mangsa sedang menggoreng telur di dapur dan tiba-tiba paip penghuni tingkat atas meletup disebabkan penggunaan asid untuk membersih saluran tersebut.
Letupan itu telah menyebabkan badan mangsa terkena asid dan doktor mengesahkan mangsa melecur tahap ketiga.
Gambar & Sumber : The Reporter