Awas ‘Scam Durian’, Elak Jadi Mangsa Penipuan Promosi Jualan Murah

Promosi jualan durian yang terlalu menarik termasuk tawaran harga rendah daripada harga pasaran antara taktik digunakan sindiket penipuan untuk menjerat orang ramai.

Sindiket penipuan menggunakan pelbagai helah untuk memperdayakan orang ramai termasuk penipuan promosi jualan murah apabila tiba musim durian.

Justeru orang ramai diingatkan sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran promosi jualan durian sama ada diiklankan menerusi media sosial atau aplikasi sembang maya.

Beberapa tips turut dikongsi menerusi Facebook Amaran Scam untuk dijadikan rujukan kepada penggemar raja buah itu supaya tidak menjadi mangsa penipuan promosi jualan durian.

Menurut Facebook itu, antara tanda-tanda ‘scam durian’ yang didalangi oleh sindiket penipuan adalah dengan mengiklankan promosi jualan durian dengan tawaran yang terlalu menarik.

Kedua, pihak penjual atau sindiket ini kemudian akan mencadangkan kepada pembeli menggunakan laman sesawang atau aplikasi bagi kemudahan membuat bayaran atau mendapatkan semula wang bayaran.

Seterusnya sindiket akan meminta pembeli memuat turun aplikasi menerusi pautan yang dikongsikan dan mengisi butiran peribadi.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini turut ada memberi amaran sama atas taktik penipuan sebegitu.

Masalah akan timbul selepas pembeli memasukkan nama dan kata laluan dan membuat bayaran menerusi aplikasi atau pautan ke halaman menyerupai sistem pembayaran menerusi FPX yang dikongsikan pihak sindiket.

Sistem itu kemudian akan tergendala dan mangsa kemudian akan menerima mesej daripada bank terdapat pemindahan wang daripada akaun mangsa ke akaun pihak ketiga dengan amaun yang tinggi daripada harga pembelian.

Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak memuat turun sebarang aplikasi yang tidak dapat dipastikan ketulenannya selain tidak mudah mendedahkan nama dan kata laluan atau maklumat perbankan kepada pihak ketiga.

Orang ramai yang sudah menjadi mangsa penipuan, dikehendaki terus menghubungi pihak bank atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

Sumber : Berita Harian