Antara terbaik pernah diperkenal SSPA bakal diumumkan – PM

BANGI: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan diumumkan nanti adalah antara yang terbaik yang pernah diperkenalkan oleh kerajaan.

Perdana Menteri berkata kenaikan gaji kakitangan awam lebih 13 peratus akan bermula Disember ini. Anwar dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mencari jalan untuk memastikan janji ini ditepati demi kebajikan 1.5 juta penjawat awam, walaupun kerajaan kini menanggung hutang sebanyak RM1.5 trilion.

Beliau menyatakan ini pada Majlis Sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini.

Pada 1 Mei lalu, Anwar mengumumkan bahawa penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji lebih daripada 13 peratus, kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, seiring dengan pelaksanaan SSPA. Sebelum ini, kenaikan gaji tertinggi adalah 13 peratus, tetapi Kerajaan Madani akan memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi.