Anak buah sendiri buat hal! – IGP

POLIS dedahkan ada beberapa anggotanya menjadi duri dalam daging apabila menjadi pelindung Geng Nicky yang dikesan mula beroperasi pada 2014.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, terdapat beberapa lagi badan penguatkuasa yang terlibat dalam perbuatan tersebut namun enggan mendedahkannya.

“Terdapat beberapa orang pegawai polis yang dipercayai terlibat membantu sindiket ini dan akan saya ambil tindakan.

“Tidak ada lagi amaran-amaran, sudah puas dan sudah cukup amaran diberikan kepada mereka supaya dari dulu lagi telah saya katakan, putuskan apa juga hubungan mereka dengan kumpulan ini

“Tetapi nampak gayanya, daripada hasil tindakan yang diambil ini terdapat pengkhianat di kalangan anak buah saya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Antara barang kes.

Tegas Hamid Bador, pihaknya akan turut mengambil tindakan tegas terhadap anggotanya yang membocorkan maklumat operasi sehingga Nicky Liow sempat melarikan diri dan membawa banyak wang tunai.

Bukan lagi tindakan tatatertib malah akan disiasat mengikut undang-undang jenayah.

“Buat masa ini belum ada tangkapan dibuat terhadap pegawai polis dan anggota agensi penguatkuasa terbabit.

“Saya nak tengok sejak bila mereka ambil duit atau dibayar untuk tutup mulut. Sewaktu saya atau sebelum saya (jadi Ketua Polis Negara).

“Senarai mereka terlibat yang diperolehi akan diperhalusi dan siasat. Selepas yakin dan bukti cukup,” katanya lagi.