KREATIF tak kena tempat. Polis merampas 60 bungkus air ketum dipercayai dicampur ubat batuk dan air minuman bergas bikarbonat selepas menyerbu sebuah unit flat di Bagan Ajam, Butterworth, Seberang Perai Pulau Pinang malam tadi.
Dalam operasi kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, tujuh lelaki berusia 20 hingga 29 tahun yang berkumpul di dalam rumah terbabit turut ditahan.
Polis turut merampas wang tunai bercampur berjumlah RM2,104 yang ditemui bersama suspek yang kesemuanya penganggur.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, siasatan polis mendapati salah seorang suspek yang tinggal di rumah itu mengaku memiliki air ketum tersebut.
“Cecair itu akan dijual pada harga RM7 sebungkus kepada pembeli di sekitar kawasan Pantai Bersih selain rumah berkenaan dijadikan tempat melepak sambil minum ketum.
“Siasatan turut mendapati, enam lagi suspek merupakan pembantunya untuk membungkus bekalan air ketum yang telah dibancuh bersama ubat batuk,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Difahamkan dalam serbuan itu, polis menemui sejumlah air minuman bergas bikarbonat yang dipercayai turut dicampur bersama air ketum untuk memberikan rasa lebih sedap.
Beliau berkata, kesemua suspek yang negatif ujian saringan air kencing itu ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Sementara itu, Noorzainy berkata, kesemua suspek turut dikenakan kompaun selepas didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika berkumpul.
Sumber: Kosmo!