Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan 80 peratus cuti pegawai dan anggota bomba di seluruh negara bagi siap siaga sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kecemasan dan kebakaran sepanjang musim perayaan Aidilfitri.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pembekuan cuti itu melibatkan 10,174 keanggotaan dan berkuat kuasa mulai hari ini hingga 30 April.
“Persediaan awal yang dilaksanakan oleh JBPM bagi mencegah berlakunya kebakaran semasa musim perayaan, antaranya melalui kempen kesedaran keselamatan kebakaran yang disasarkan kepada komuniti perumahan, pusat-pusat perniagaan dan lain-lain.
“Masyarakat diingatkan untuk sentiasa meningkatkan aspek keselamatan pencegahan kebakaran di premis dan kediaman masing-masing sebelum pulang ke kampung agar tidak berdepan sebarang kerugian,” katanya kepada Bernama.
Selain kempen yang dijalankan secara fizikal, e-pembelajaran juga dilaksanakan melalui medium media sosial seperti Facebook, Telegram, Youtube dan TikTok.
“Risiko berlakunya kebakaran meningkat pada musim perayaan dan penting untuk semua pihak meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mengambil langkah mencegah kebakaran,” katanya.
Ditanya sama ada JBPM ada mengenal pasti kawasan hotspot berpotensi berlaku kebakaran, Abdul Wahab berkata tiada hotspot kebakaran struktur boleh dikenal pasti memandangkan kebakaran struktur berlaku di atas beberapa faktor dan tidak terikat dengan hanya satu faktor seperti peningkatan suhu.
“Walau bagaimanapun JBPM tetap bersedia dan mengambil kira premis-premis yang menjadi tumpuan orang ramai untuk sambutan Hari Raya dan sempena Ramadan.
“JBPM juga meningkatkan tahap penguatkuasaan dengan menjalankan pemeriksaan menghapus bahaya kebakaran sebagai langkah bagi mencegah kebakaran,” katanya.
Sumber : Bernama | Gambar : Wikipedia