‘Abang Bas’ Bebas, Bayar Jaminan RM40,000

MUAR: Pemandu bas yang ditahan kerana memuat naik video dirinya bersama murid sekolah rendah sebagai ‘crush’, dibebaskan selepas membayar ikat jamin keseluruhan berjumlah RM40,000 di Kompleks Mahkamah Muar pada Selasa.

Lapor media tempatan, dia yang dikenali sebagai ‘Abang bas’ pulang ke pangkuan keluarga selepas proses jaminan selesai sepenuhnya pada jam 11.55 pagi tadi dengan diwakili Peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Muhammad Hariz Md. Yusoff.

Keseluruhan jumlah ikat jamin dikenakan itu membabitkan tiga pertuduhan antaranya mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017, Seksyen 15 (a) (iii) akta sama dan Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Walaupun dibebaskan, ‘Abang Bas’ masih terikat dengan syarat tambahan ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Muar dan Mahkamah Sesyen Batu Pahat iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan dan tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa atau saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sementara itu, Zaharil yang mewakili ‘Abang Bas’ berkata, beliau menunaikan janjinya untuk membawa pemuda itu pulang sebelum ini.

“Saya janji, saya bawa dia balik. Jaminan hari Selasa saya bawa,” katanya ringkas kepada pemberita.

Selasa lalu, Mahkamah Sesyen Muar membenarkan ‘Abang Bas’ diikat jamin RM30,000 terhadap dua pertuduhan, manakala Mahkamah Sesyen Batu Pahat memberikan ikat jamin RM10,000 untuk satu pertuduhan.

Bagaimanapun, keluarga kepada anak bongsu daripada enam beradik itu tidak mampu membayar keseluruhan ikat jamin dikenakan menyebabkan ahli keluarganya merayu orang ramai menghulurkan sumbangan itu untuk membayarnya.