Abang Baju Merah Tunjal Kepala Wanita Mohon Maaf, Perjelaskan Hal Sebenar Kejadian

Penyelia kilang yang tular menunjal kepala seorang pemandu wanita berhampiran Lata Iskandar, Cameron Highlands, Jun lalu, tampil memohon maaf, semalam.

Menerusi perkongsian video Shahdan di TikTok, Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, turut berkongsi punca kejadian dan mengakui gagal menahan marah ekoran wanita tersebut tidak henti-henti ‘menjawab’ di atas kesilapan sendiri.

Video : adanjerrr

“Dari Cameron kami dah habis jalan-jalan nak balik ke Shah Alam dan masa turun tu sesak. Sampai dekat selekoh tajam saya fokuskan pada selekoh tiba-tiba ada satu kereta bertentangan menghala ke saya, brek kecemasan dan bagi hon.

“Bila saya tengok belakang, ada Myvi nak potong tak lepas. Tayar saya dah jatuh dari jalan dan nasib baik saya tak tekan brek kalau tak memang masing-masing jatuh je gaung.

“Masa turun tu saya cuba cakap tapi dia menjawab-jawab menyebabkan saya marah dan masa nak pergi tu dia masih menjawab menyebabkan saya patah balik dan tepuk dahi dia.

“Seorang suami tengok anak isteri dah lintang pukang kat belakang, apa perasaan? Saya pun tak boleh fikir masa tu,” katanya.

Dalam masa sama katanya, dia tidak menolak untuk membuat laporan ke atas pemandu wanita tersebut selepas ini.

“Saya nak minta maaf kepada semua rakyat Malaysia dan perempuan yang saya tunjal dan saya dah terima hukuman saya.

“Saya mungkin akan buat laporan untuk dia pula sebab untuk bahagian saya, saya dah terima hukuman kena penjara dan dapat kesedaran.

“Saya nak mohon maaf atas perbuatan saya kepada wanita tersebut saya dah terima hukuman saya,” katanya.

Selain itu, Mohammad Zaim turut meminta supaya netizen berhenti mengecam dirinya dan keluarga.

“Satu lagi saya nak minta netizen jangan cakap bukan-bukan. Saya sebagai lelaki pun ada tahap juga bila tengok anak bini macam tu.

“Saya tunjal tanpa niat nak pukul, dalam masa sama saya nak berterima kasih kepada pihak Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia dan Abang Yusuf Azmi panggil kami untuk luahkan perasaan dan apa sebenarnya yang berlaku.

“Yang cakap bukan-bukan tu, hentikan sahaja,” pintanya yang juga tampil bersama isteri menerusi video berdurasi hampir enam minit itu.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Mohammad Zaim Jun lalu telah dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret atas pertuduhan melakukan ugutan dan mencederakan mangsa.

Dia dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah sejurus kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Shah.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Amiera Atiqah Shahrizan, 25, dengan kata ugutan ‘pecah muka kau sat lagi’. 

Sumber : Kosmo