Sebanyak 89 bom lama dan peluru hasil tinggalan perang dunia kedua ditemui di Pelabuhan Darat Terminal Kargo Ipoh di Jalan St John.
Penemuan kali kedua di lokasi yang sama ini adalah rentetan laporan penemuan lapan bom lama oleh pekerja syarikat penyelenggaraan yang melakukan kerja-kerja mengorek tanah pada Jumaat lalu.
Menurut laporan Perak Gazette, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, ketika kejadian, kumpulan pekerja berkenaan sedang menjalankan kerja-kerja mengorek tanah bagi membina landasan baharu menggantikan landasan kereta api yang lama.
Katanya, semasa kerja-kerja tersebut sedang dijalankan, mereka telah menjumpai puluhan objek yang dipercayai bom dan peluru.
“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati, jumlah keseluruhan bom dan peluru yang dijumpai di kawasan itu adalah sebanyak 89 butir dan masih aktif.
“Antara yang ditemui ialah 30 butir bom jenis UXO ARTILLERY 105mm, 30 butir peluru 7.62 mm yang sudah berkarat dan 29 butir Land Bom Anti Personal Mines,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah mengarahkan kontraktor supaya menghentikan kerja-kerja mengorek tanah di kawasan tersebut untuk sementara waktu.
Katanya, anggota juga telah diarahkan membuat kawalan di pintu masuk tempat kejadian sehingga selesai.
“Kesemua bom dan peluru tersebut telah dibawa oleh anggota UPB IPK Perak ke Lapang Sasar Chenderiang di Tapah untuk tindakan lanjut,” katanya.