SHAH ALAM: Sebuah tempat simpanan gas musnah dalam kebakaran yang turut merebak ke dua bangunan berdekatan di Taman Aman Perdana, Klang, lewat malam tadi.
Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (JBPM), Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kebakaran itu menyebabkan tiga pekerja asing lelaki mengalami kecederaan parah akibat terbakar, manakala empat lagi pekerja asing berjaya menyelamatkan diri tanpa cedera.
Menurut beliau, kebakaran dipercayai bermula di kemudahan simpanan gas dan merebak ke gudang jentera berat serta kilang pemprosesan tembaga yang berdekatan.
“Maklumat diterima pada pukul 12.55 pagi dan kami menghantar anggota serta jentera dari Balai Bomba Klang Utara, Klang Selatan, Andalas, Bukit Jelutong, Kapar, Damansara, dan Pelabuhan Klang ke lokasi kejadian.
“Sebanyak 80 peratus kemudahan simpanan gas dan gudang jentera berat musnah, manakala kerosakan di kilang tembaga dianggarkan 20 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, seramai 43 anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut, yang berjaya mengawal kebakaran sekitar pukul 2.00 pagi. Tiada kematian dilaporkan.