20 Pelajar Tahfiz Al-Masri Terselamat, Asrama Terbakar

KUALA LANGAT – Seramai 20 pelajar lelaki pusat tahfiz Al-Masri terselamat dalam kebakaran yang memusnahkan asrama lelaki di Batu 9, Kampung Medan Telok Panglima Garang di sini, tengah malam tadi.

Kesemua yang terselamat berusia 13 hingga 17 tahun berjaya keluar dari asrama tersebut tanpa sebarang kecederaan.

Pengarah Bomba Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 12.13 tengah malam.

Katanya, seramai 18 anggota termasuk pegawai bersama empat jentera dari tiga buah balai bomba dan penyelamat (BBP) iaitu Teluk Panglima Garang, Andalas dan Banting digerakkan bagi tujuan operasi pemadaman.

“Kebakaran melibatkan sebuah asrama lelaki dengan kesemua 20 penghuninya berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan.

“Api berjaya dikawal kira-kira pukul 12.35 pagi sebelum dipadamkan 14 minit kemudian dengan kemusnahan melibatkan 70 peratus bangunan asrama itu,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Sumber : Kosmo