SEORANG ibu tunggal di India sanggup menyamar sebagai lelaki kerana mahu membesarkan anaknya dalam komuniti patriarki yang mengamalkan sistem masyarakat yang sebahagian besar kekuasaannya dipegang oleh kaum lelaki.
Lebih mengejutkan, dia telah berbuat demikian selama 36 tahun, lapor Kosmo.
S Petchiammal berusia 20 tahun semasa suaminya meninggal dunia akibat serangan jantung ketika usia perkahwinan mereka baru sahaja mencecah 15 hari dan dia disahkan hamil.
Selepas melahirkan anak perempuannya, Petchiammal mula melakukan pelbagai jenis pekerjaan bagi membesarkan anaknya di sebuah kampung di Tamil Naidu.
Dia dikatakan pernah bekerja di tapak pembinaan, hotel dan kedai kopi.
Bagaimanapun dia sering mengalami gangguan seksual dan dikasari di tempat kerja.
Menurut wanita itu, sebagai ibu tunggal, dia menghadapi pelbagai kesukaran untuk hidup dalam masyarakat patriarki, sehinggalah dia membuat keputusan untuk menyamar sebagai lelaki.
Suatu hari, Petchiammal pergi ke sebuah kuil, lalu memotong rambutnya, menyalin sari yang dipakai dengan baju biasa serta menukar namanya kepada ‘Muthu’.
Dia kemudian berpindah ke sebuah perkampungan lain bersama anak perempuannya bagi mengelakkan penyamarannya terbongkar.
“Hanya saudara terdekat dan anak saya sahaja tahu bahawa saya seorang wanita.
“Saya melakukan pelbagai pekerjaan daripada menjadi pelukis, pakar teh dan pakar parotta. Saya juga menyimpan setiap wang yang diperoleh bagi menjamin kehidupan anak saya,” katanya kepada akhbar The New Indian Express.
Petchiammal akhirnya mendedahkan mengenai penyamarannya hanya selepas anaknya berkahwin baru-baru ini, dan menerima pujian daripada ramai penduduk India disebabkan tindakannya itu.
Selepas menyamar selama 36 tahun, wanita itu berkata, dia ingin kekal dikenali sebagai Muthu sehingga ke akhir nyawanya.
Sumber: Kosmo