Wanita diceraikan selepas kongsi video suami cuci pinggan di TikTok

SEORANG lelaki Syria dikatakan tergamak menceraikan isterinya gara-gara wanita itu merakam perbuatannya yang sedang mencuci pinggan dan memuat naik ke laman TikTok.

Rakaman video itu disertakan dengan lagu latar yang seolah-olah menggambarkan lelaki tersebut berada di bawah kawalan isteri, lapor Kosmo.

Wanita itu berbuat demikian ketika suaminya sedang sibuk membersihkan rumah lalu merakamnya dapur sambil mencuci pinggan.

Dia kemudian menyelitkan lagu berbentuk provokasi pada video tersebut sehingga si suami hilang sabar lalu menceraikan isterinya sejurus selepas klip berkenaan tular.

Lagu bertajuk ‘Mesaytara’ yang diterjemahkan menjadi ‘Saya dominan’ atau ‘Saya akan mengawal awak’ oleh penyanyi Syria, Lamis Kan menjadi punca utama di sebalik perceraian pasangan itu.

Bahagian pertama lagu itu berbunyi ‘Saya dominan, anda akan diperintah di bawah arahan ketat saya, saya akan membuat anda gila jika anda melihat gadis lain di jalanan, selagi anda bersama saya, anda akan berjalan di bawah perintah saya’.

Ini bukan kali pertama lagu itu membawa kepada perceraian.

Terdapat dua lagi kes perceraian dilaporkan di Iraq dan Jordan yang berpunca daripada lagu tersebut.

Sumber: Kosmo