PERMINTAAN melakukan pembedahan plastik dalam kalangan rakyat Korea Selatan tetap meningkat walaupun ketika pandemik Covid-19 belum reda, lapor Harian Metro.
Memetik laporan asal The Korea Times, ia difahamkan kerana mereka mahu tampil dengan wajah menarik sebelum pandemik berakhir.
The Korea Times melaporkan seorang yang pernah menjalankan prosedur itu adalah Ryu Han-na iaitu penuntut universiti berusia 20 tahun.
Difahamkan, Ryu melakukan pembedahan pada hidung pada pertengahan bulan lalu.
Ryu melakukannya dengan alasan mahu mencantikkan wajahnya sebelum orang ramai tidak lagi memakai pelitup muka berikutan penemuan vaksin.
Ryu yang mengikuti kursus pengajian dalam talian sepanjang tahun lalu mengatakan, kemampuan untuk sembuh di rumah dan memakai topeng di khalayak ramai tanpa menarik perhatian adalah faktor mempengaruhinya melakukan pembedahan.
“Saya sudah lama mahu melakukan pembedahan hidung dan ini waktu terbaik sebelum orang ramai tidak lagi memakai pelitup muka kerana vaksin ditemui.
“Akan ada lebam dan bengkak pada wajah, tetapi pemakaian pelitup muka membantu menyembunyikannya,” katanya yang membelanjakan 4.4 juta won (kira-kira RM16,191) bagi menjalankan pembedahan plastik.
Pakar bedah plastik di Klinik WooAlhn, Park Cheol-woo berkata, pesakit cenderung melakukan pembedahan pada semua bahagian wajah yang boleh disembunyikan dengan mudah di sebalik pelitup muka seperti hidung dan bibir serta sebaliknya kerana menganggap ia kecantikan era Covid-19.
Sumber: Harian Metro