GARA-GARA tabiat gemar memakai fon telinga ketika tidur, seorang lelaki di Massachusetts, Amerika Syarikat tertelan alat itu, lapor Harian Metro.
Memetik laporan asal portal New York Post, Brad Gauthier, 38, dari Worcester, bangun dari tidur pada pagi Selasa lalu dalam keadaan sukar bernafas dan perasan satu fon telinganya hilang.
Katanya, dia sempat membersihkan salji yang menimbun di depan rumahnya sebelum minum air namun menghadapi kesukaran.
“Anak saya mengesyaki mungkin saya tertelan fon telinga yang hilang itu.
“Pada mulanya ia macam jenaka, namun ada benarnya juga apa dikata kerana saya rasa sesuatu tersekat di tengah dada saya,” katanya kepada stesen televisyen tempatan, 22 News.
Menurutnya, dia ke hospital dan ujian imbasan sinar X menunjukkan satu fon telinga tersekat pada bahagian kerongkongnya.
“Saya rasa sangat tidak selesa kerana doktor terpaksa mengeluarkan fon telinga itu sepanjang 5.08 sentimeter menggunakan tiub nipis yang panjang.
“Saya tidak pernah terfikir tidur dengan fon telinga boleh membahayakan saya. Saya sangat bernasib baik kerana selamat,” katanya seperti dipetik dalam portal New York Post.
Sumber: Harian Metro