SEORANG pemuda yang memiliki Lamborghini asal China menjadi terkenal sekelip mata selepas memanggang daging babi pada ekzos kenderaan mewahnya.
Akibat percubaan ekstrem yang dilakukan, dia menanggung kerugian kira-kira 500,000 yuan (RM323,506) selepas keretanya mengalami kerosakan berpunca daripada kebocoran dan letupan tangki air.
Pemuda berkenaan dan beberapa rakannya dikatakan berkumpul dan bersepakat menggunakan ekzos kereta bagi memanggang daging babi di sebuah sebuah garaj bawah tanah di Changsha, wilayah Hunan.
Dilaporkan, pemuda itu menekan pedal kereta sekuat hati sementara rakannya duduk di belakang kereta bagi membakar daging pada ekzos.
Disebabkan tekanan pedal melampau, kereta Lamborghini itu menjadi panas sebelum tangki air meletup dan asap putih keluar dari kenderaan berkenaan.
Penyejuk kereta dikatakan mula bocor dari bawah kenderaan, menyebabkan kumpulan lelaki berkenaan terpaksa beredar dari situ sementara menunggu asap hilang.
Walaupun begitu, pemilik kenderaan dan rakannya tidak kelihatan kecewa, sebaliknya masih boleh tersenyum dan ketawa ketika bersama-sama menolak kereta ke trak tunda.
Video itu menjadi tular di China dan mencetuskan kemarahan dalam kalangan orang ramai kerana dengan sengaja merosakkan kereta mewah.
Segelintir warganet turut melabelkan tindakan pemuda itu sebagai perbuatan tidak sihat ditunjukkan oleh kebanyakan generasi kedua yang lahir dalam keluarga berada.
Sumber: The Drive