SATU keluarga di Palm Harbor, Florida Amerika Syarikat terkejut apabila melihat ular berkepala dua yang ditemui kucing peliharaan mereka, lapor portal UPI.
Kay Rogers berkata, kucing milik anak perempuannya yang dinamakan Olive menggonggong ular bersaiz kecil itu ke ruang tamu rumah sebelum, mereka menyedari sesuatu yang pelik.
“Pada mulanya saya ingatkan anak saya bergurau apabila mengatakan Olive menggonggong ular berkepala dua, tetapi apabila melihatnya sendiri, saya jadi kagum.
“Saya tidak pernah melihat reptilia begitu sebelum ini,” kata Rogers kepada WKMG-TV seperti dilapor portal berita UPI.
Berikutan itu, anak Rogers menamakan ular berkenaan Dos dan mereka menyerahkan ia untuk jagaan Suruhanjaya Pemuliharaan Hidupan Liar, Institut Penyelidikan Ikan dan Hidupan Liar Florida (FWC).
FWC menjelaskan ular hitam berkepala dua adalah penemuan ganjil dan jarang berlaku.
“Fenomena ini disebut bicephaly, yang bukan kebiasaan tetapi boleh terjadi ketika perkembangan embrio apabila dua monozigot kembar gagal berpisah, akhirnya meninggalkan dua kepala pada satu badan,” kata FWC dalam hantaran di Facebook.
Menurut institut itu lagi, Dos sukar bertahan di luar berikutan bergantung kepada sepasang otak yang menyulitkan ia untuk makan dan melepaskan diri daripada pemangsa.
Dalam pada itu, Live Science yang dipetik Fox News melaporkan keluarga Rogers menemui ular itu pada September lalu. – Agensi
Sumber: Harian Metro