THAILAND memberi amaran kepada penduduk di seluruh negara termasuk ibu kota Bangkok untuk mengelak dari keluar rumah kerana cuaca panas yang melampau.
Sebahagian benua Asia melaporkan cuaca panas melampau bulan ini dengan suhu yang tinggi dikesan di beberapa negara.
Di Bangladesh dan beberapa bahagian di India, haba melampau membawa kepada lonjakan permintaan tenaga menyebabkan pemotongan dan kekurangan kuasa untuk berjuta-juta individu, lapor Sinar Harian.
Di daerah Bagna di Bangkok, suhu mencecah 42 darjah Celsius manakala indeks haba mencecah rekod 54 darjah Celsius.
Menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand, suhu dijangka melebihi 40 darjah Celsius di sekurang-kurangnya 28 wilayah.
Menurut jurucakap kerajaan Thailand, suhu panas melampau telah memecahkan rekod penggunaan elektrik dengan penggunaan lebih 39,000 megawatt pada 6 April, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 32,000 megawatt pada April tahun lalu.
Pakar berpendapat, apa yang berlaku di sebahagian negara Asia adalah disebabkan perubahan iklim yang mempengaruhi cuaca tidak normal dan fenomena dipanggil cuaca melampau.
Sumber gambar – CNN Indonesia| Sumber laporan – Sinar Harian