SEORANG lelaki di Sumatera Selatan didakwa memukul isterinya yang bernama Siti Nurhaliza, 22, selepas wanita itu bertengkar dengan ibunya.
Tertuduh, Nopiyan Syahri, 26, yang berasal dari Dusun IV Desa Bukit Langkap, Kabupaten Muratara, menyebabkan Siti Nurhaliza mengalami lebam di bahagian kiri pipinya, lapor Kosmo.
Menurut kenyataan polis, suspek tidak boleh menerima pertengkaran yang berlaku antara isteri dengan ibunya.
“Mangsa mendakwa dipukul enam kali oleh suaminya selepas kejadian bertikam lidah dengan ibu mentuanya.
“Kepalanya dihentak ke lantai sehingga menyebabkan pipi kirinya mengalami lebam teruk,” kata kenyataan itu.
Ketua Polis Muratara, Asisten Komisioner Polis Besar Eko Sumaryanto, melalui Ketua Unit Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner Dedi Rahmad Hidayat, mengesahkan penangkapan itu.
Suspek ditahan selepas polis mendapat maklumat daripada keluarga mangsa bahawa suspek melarikan diri dari kediaman selepas insiden berkenaan dan bekerja di sebuah ladang ternakan Kelurahan Terawas Kecamatan STL Ulu Terawas, Kabupaten Mura.
Suspek didakwa di bawah undang-undang Keganasan Rumah Tangga, Kanun 40 ayat 1, No. 23, Tahun 2004.
Sumber: Kosmo