Setelah Dicurangi, Isteri Penyanyi Virgoun, Inara Memutuskan Untuk Buka Niqab Demi Menyara Anak

Ketika kemelut rumah tangga masih belum berkesudahan, isteri kepada penyanyi Virgoun iaitu Inara Rusli sekali lagi mencuri tumpuan ramai apabila membuat keputusan untuk tidak lagi memakai niqab atau purdah.

Dalam satu sidang media yang berlangsung pada Khamis, Inara kembali melepaskan bahagian yang menutupi separuh muka itu atas alasan supaya dapat kembali bekerja.

Kata Inara, 30, yang juga merupakan bekas anggota kumpulan Bexxa, keputusan tersebut dibuat demi meneruskan kelangsungan hidup bersama anak-anak.

“Terus-terang saya mengalami pergolakan rumah tangga yang amat dahsyat. Walau apa pun yang berlaku saya tetap akan berjuang demi anak-anak.

“Sekarang saya mahu hidup sendiri dan bekerja demi anak-anak. Aku harus membuka niqab,” katanya.

Dia sebelum itu telah mendapatkan pandangan beberapa orang yang arif dalam bidang agama tentang hal tersebut.

Tambah Inara dia juga tidak pernah ambil peduli dengan kecaman yang bakal diterima susulan mengambil keputusan untuk kembali aktif dalam dunia seni.

“Semoga netizen tidak buruk sangka kerana saya berjuang demi anak-anak. Jika dibuli netizen juga tiada erti buat saya,” jelasnya.

Sebelum ini, Inara menyifatkan permohonan cerai yang dibuat suaminya itu di Pejabat Agama Jakarta Barat adalah disebabkan perasaan marah.

Inara atau nama sebenarnya Ina Idol Rusli bagaimanapun tidak menjelaskan tentang punca kemarahan Virgoun sehingga menyebabkan dia memfailkan penceraian.

Sumber : Mstar