Seorang Maut, Tujuh Cedera Di Sweden Disebabkan Roller-Coaster Yang Dinaiki Tergelincir Dari Landasan

Seorang individu maut, manakala tujuh yang lain cedera selepas roller-coaster dinaiki mereka di Taman Hiburan Grona Lund di Sweden, tergelincir.

Insiden itu disahkan oleh polis bandar ini dan pengurusan taman berkenaan.

Kejadian selepas gerabak roller-coaster Jetline yang membawa beberapa penumpang terputus dan jatuh, menurut pemberita televisyen Sweden SVT di taman tema Grona Lund.

“Malangnya seorang individu meninggal dunia,” kata jurucakap Taman Hiburan Grona Lund, Cecilia Bjorling kepada AFP.

Polis Stockholm mengesahkan tujuh mangsa yang cedera dibawa ke hospital.

Menurut jurucakap polis Stockholm, Helena Bostrom Thomas, kecederaan berpunca akibat terjatuh.

“Kami menerima panggilan 11.39 pagi memaklumkan sebuah roller-coaster tergelincir dan beberapa orang cedera,” kata Hakan Eriksson dari perkhidmatan kecemasan Sweden kepada AFP.

Polis dan ambulans dikejarkan ke tempat kejadian.

“Saya tiba-tiba mendengar bunyi logam dan kemudian permainan mula bergegar.

“Suami saya melihat roller-coaster itu tergelincir dan terjatuh,” kata wartawan Jenny Lagerstedt kepada SVT.

“Saya ada berkunjung ke taman tema itu baru-baru ini bersama keluarga dan tidak dapat membayangkan bagaimana rasanya apabila hari yang paling indah tiba-tiba bertukar menjadi mimpi ngeri,” kata Menteri Kebudayaan Parisa Liljestrand memberitahu agensi berita TT.

Permainan roller-coaster Jetline mula dilancarkan sejak 1988 Itu bergerak pada kelajuan kira-kira 90 kilometer sejam.

Sumber : Harian Metro