SEORANG askar Rusia yang didakwa menyerahkan kereta kebalnya akan menerima ganjaran tunai berjumlah £7,500 (RM41,606) selain layak memohon kewarganegaraan Ukraine, demikian menurut satu dakwaan seperti laporan akhbar Daily Star semalam.
Memetik laporan Kosmo, askar Rusia itu dikatakan kecewa selepas mendapati pencerobohan berterusan ke atas Ukraine tidak mempunyai hala tuju yang jelas.
Menteri Dalam Negeri Ukraine, Victor Andrusiv berkata, anggota tentera bernama Misha itu adalah askar terakhir yang berada di dalam kereta kebal Rusia tersebut.
Dia dikatakan takut ditembak mati oleh komander Rusia sekiranya dikesan telah melarikan diri dari medan perang.
Satu perbincangan antara Misha dengan askar Ukraine diatur selepas dia menghubungi mereka.
“Beberapa hari lepas, Misha menelefon kami. Dia memberikan maklumat kepada perisikan tentera Ukraine. Mereka menandakan lokasinya dan dia tiba menemui kami. Pemeriksaan dron mendapati dia berseorangan,” kata Andrusiv.
Tambah Andrusiv, Misha akan menerima ganjaran berupa wang tunai pada akhir peperangan itu.
Pada masa yang sama, dia juga diberikan sebuah televisyen, telefon, dapur dan bilik mandi selain akan diberi peluang untuk memohon kerakyatan Ukraine.
Askar Ukraine sering menghantar pesanan teks kepada tentera Rusia bagi menawarkan mereka peluang untuk menyerah kalah dan menyerahkan peralatan ketenteraan.
Sumber: Kosmo