Rusia ugut jatuhkan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa ke atas AS, Eropah

AGENSI Angkasa Lepas Rusia(Roscomos) mengeluarkan ancaman untuk menjatuhkan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) ke arah negara-negara yang melaksanakan sekatan ekonomi ke atas Moscow ketika peperangan berlangsung dengan Ukraine.

Ketua Roscomos, Dimitry Rogozin menyatakan ancaman itu dalam kenyataan di Twitter sebagai membalas pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengenai sekatan yang dikenakan ke atas Rusia, lapor Kosmo.

“Siapa yang akan menyelamatkan ISS sekiranya ia keluar dari orbit?” tulis Rogozin.

Dalam beberapa kenyataannya di Twitter,  Rogozin turut menyenaraikan India, China, AS dan Eropah sebagai pilihan untuk menjatuhkan stesen seberat 500,000 kilogram (kg) itu.

ISS.

“Jika anda menyekat kerjasama dengan kami, siapa yang akan menyelamatkan ISS daripada keluar dari orbit dalam keadaan di luar kawalan dan jatuh ke atas AS atau Eropah?

“Kami juga mempunyai pilihan untuk menjatuhkan struktur seberat 500,000 kg itu ke atas India dan China. Adakah anda mahu mengancam mereka dengan prospek seperti itu?

“Jika ISS tidak menuju ke Rusia, semua risiko berada di tangan anda. Adakah anda bersedia?” tegasnya.

Terdahulu, Biden telah mengumumkan untuk menghentikan import teknologi kepada Rusia dalam usaha untuk memperlahankan keupayaan ketenteraan berteknologi tinggi.

Sumber: Kosmo