SEORANG lelaki yang bekerja di sebuah hospital didakwa tidak hadir ke tempat kerja selama 15 tahun namun dibayar gaji selama tempoh tersebut.
Menurut laporan BBC, lelaki berkenaan dikatakan tidak hadir ke Hospital Ciaccio di bandar selatan Catanzaro sejak tahun 2005. Sepanjang tempoh berkenaan, dia dilaporkan telah dibayar sebanyak €538,000 (RM2.67 juta).
Dia kini disiasat di atas kesalahan menipu, melakukan pemerasan dan salah guna kuasa, menurut laporan media Itali, Ansa.
Enam pengurus hospital yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan juga turut disiasat. Penahanan dibuat hasil siasatan polis berkenaan amalan ponteng kerja dan dakwaan penipuan dalam kalangan pekerja sektor awam di Itali.
Selain itu, lelaki berkenaan merupakan pekerja sektor awam dan ditugaskan di hospital itu pada tahun 2005 namun dia tidak pernah hadir ke tempat kerja, kata polis.
Dia turut didakwa mengugut pengurusnya supaya tidak melaporkan tindakan dia itu. Selepas pengurus berkenaan pencen, ketidakhadiran lelaki itu tidak pernah disedari atau diperhati oleh pengurus seterusnya atau petugas sumber manusia.
Sumber: Awani