ENGGAN menjadi keldai kepada suami. Itu persepsi yang menyebabkan ramai golongan wanita di China menolak perkahwinan dan hidup selesa sebagai bujang, lapor Harian Metro.
Memetik laporan asal portal CNN, faktor itu juga menyebabkan jumlah penduduk negara ini berkahwin menurun buat kali pertama dalam tempoh enam tahun iaitu sebanyak 41 peratus iaitu dari 23.8 juta pada 2013 kepada 13.9 juta pada 2019.
Menurut Statistik Biro Kebangsaan China, penurunan itu disebabkan oleh beberapa faktor dan antaranya termasuk polisi mengehadkan bilangan anak bagi mengawal populasi di negara ini.
Statistik menunjukkan golongan wanita bujang bimbang apabila melihat isteri menjadi keldai kepada suami yang terpaksa mengikut semua kemahuan dan perintah ketua keluarga itu hingga tidak boleh membuat keputusan sendiri.
Malah, polisi mengehadkan bilangan anak itu secara tidak langsung menjadikan populasi muda di China semakin sedikit, sekali gus mengurangkan peratusan penduduk yang berkahwin.
Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Sivil China, Yang Zongtao berkata, penurunan kadar perkahwinan dan kelahiran boleh menjejaskan pembangunan ekonomi serta sosial di negara ini.
“Isu ini sudah dibawa ke depan dan kementerian akan meningkatkan kualiti polisi sosial dan menggandakan usaha untuk menggalakkan penduduk supaya positif terhadap hubungan kasih sayang, perkahwinan dan kekeluargaan,” katanya.
Seorang wanita dikenali sebagai Joanne Su berkata, dua tahun lalu dia tidak sabar menunggu usianya mencecah 30 tahun.
Bekerja di sebuah syarikat perdagangan asing di Guangzhou, China serta memperoleh pendapatan lumayan dan menghabiskan hujung minggunya dengan bergaul dengan rakan-rakan.
Tetapi bagi Su dan ibu bapanya mereka tidak mempunyai sebarang masalah walaupun masih bergelar seorang bujang.
“Ketika itu, saya merasakan usia 30 tahun adalah waktu yang sangat penting.
“Ketika ia semakin dekat, saya mendapat tekanan luar biasa untuk mencari orang yang tepat untuk berkahwin baik daripada ibu bapa dan saya,” katanya.
Kini berusia 31 tahun, Su masih bujang tetapi mengatakan dia tidak lagi risau.
“Apa gunanya membuat hubungan dengan seseorang yang tidak kamu sukai, dan kemudian bercerai dalam beberapa tahun? Ini hanya membuang masa,” katanya.
Pengakuan Su itu antara pendapat wanita di China yang tidak menunjukkan minat untuk berkahwin dan lebih selesa bujang.
Pada 2019, kadar perkahwinan di China merosot untuk enam tahun berturut-turut kepada 6.6 per 1,000 orang iaitu penurunan 33 peratus dari 2013 dan terendah dalam 14 tahun, menurut data Kementerian Hal Ehwal Sivil.
Pada 1979 kerajaan China memperkenalkan strategi setiap keluarga hanya boleh mempunyai seorang anak untuk mengawal jumlah penduduk China.
Bagaimanapun, pada 2014, populasi mereka yang bekerja di negara ini mula merosot buat kali pertama dalam tempoh lebih tiga dekad hingga membimbangkan pemimpin China.
Pada tahun berikutnya, kerajaan China mengumumkan penamatan dasar satu anak yang membolehkan pasangan mempunyai dua anak berkuatkuasa pada 1 Januari 2016, namun kedua-dua kadar perkahwinan dan kelahiran makin menurun.
Sumber: Harian Metro