Minta Kembar Ganti Tempat Duduki Ujian

Seorang lelaki Korea Selatan ‘kantoi’ apabila meminta kembarnya menduduki ujian temuduga bagi pihaknya berikutan menerima tawaran panggilan dalam masa sama.

Memetik laporan Harian Metro, lelaki itu memohon bekerja di Bank of Korea (BOK) dan Perkhidmatan Penyeliaan Kewangan (FSS) atas namanya sendiri.

Namun, peperiksaan kemasukan untuk kedua-dua syarikat berlangsung pada hari sama sebelum dia meminta kembarnya untuk menyamar sebagai dia dan menduduki peperiksaan di FFS.

Namun, nasibnya tidak baik walaupun diterima bekerja di BOK tahun ini, bank itu kini sedang menyiasat dakwaan penipuan itu.

Kenyataan bersama BOK dan FSS berkata, BOK akan mengambil langkah tatatertib tegas bergantung kepada hasil siasatan dalaman dan luaran terhadap dakwaan itu.

BOK juga sedang mempertimbang bekerjasama dengan organisasi lain yang mengadakan peperiksaan kemasukan pada hari sama bagi mengelakkan penipuan pada akan datang.

Seorang jurucakap enggan mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.

Ujian kemasukan kerja adalah perkara biasa di Korea Selatan yang mempunyai salah satu tenaga kerja paling berpendidikan tinggi di dunia.

Ada penerbangan dihentikan semasa peperiksaan kemasukan kolej tahunan untuk memastikan pelajar tidak diganggu.

Graduan baru-baru ini menghadapi persaingan sengit untuk mendapatkan pekerjaan di syarikat berprofil tinggi.

Sumber : Harian Metro