SEORANG juruwang maut dalam kejadian tembakan disebabkan pertengkaran pemakaian pelitup muka yang berlaku di sebuah kedai runcit di Georgia, Amerika Syarikat.
Dua individu termasuk anggota polis tercedera dalam insiden terbabit yang berlaku pada 14 Jun.
Menurut kenyataan Biro Penyiasatan Georgia (GBI), Victor Lee Tucker, 30, mengunjungi kedai berkenaan tanpa memakai pelitup muka.
Kemudian, dia bertengkar dengan juruwang di kedai berkenaan sebelum meninggalkan premis.
“Tucker meninggalkan kedai itu tanpa membeli apa-apa dan dia kembali bersama sepucuk pistol dan terus menembak juruwang berkenaan”, jelas kenyataan itu.
Seorang anggota polis yang tidak bertugas secara kebetulan berada di dalam kedai runcit berkenaan dan terus melepaskan tembakan ke arah Tucker, kata polis.
Jelas GBI lagi, Tucker kemudian membalas tembakan anggota polis berkenaan yang turut terkena seorang lagi juruwang.
Mangsa maut disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Grady Memorial.
Anggota polis tercedera bersama juruwang lain itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Tucker ditahan dan dibawa ke balai polis Georgia untuk tindakan lanjut.
Sumber: Awani