SEORANG lelaki di United Kingdom (UK), Blazej Ambrozak, 44, mencacah tatu kasut kegemaran pada kakinya kerana ‘penat berbelanja’ untuk membeli kasut baharu.
Insiden ini didedahkan oleh seorang artis tatu, Dean Gunther, 34, yang memiliki studio tatu dikenali sebagai DG Tattoo di Greater Manchester.
Menurut laporan Utusan, Gunther berkata, pelanggan itu mahu tatu reka bentuk kasut jenama Nike dicacah pada kedua-dua kakinya.
“Saya mahu mencipta ilusi mengenai individu itu sedang memakai kasut walaupun dia hanya berkaki ayam.
“Reka bentuk seperti ini sudah pasti menarik perhatian ramai kerana amat berlainan. Malah, pelanggan saya sangat menyukai tatu kasut baharunya,” kata Gunther.
Gunther menjelaskan dia mengambil masa selama dua jam untuk melakar reka bentuk kasut itu dan lapan jam lagi untuk proses mencacah tatu pada kaki pelanggannya.
Gambar : The Mirror | Sumber : Utusan