SEBAGAI pencinta kucing, kehilangan haiwan kesayangan itu yang tidak pulang-pulang ke rumah sememangnya boleh membuatkan kita susah hati serta tidak tidur malam memikirkannya.
Itu belum dikira kalau nak mengimbau semula keletah nakal si kucing berbulu oren yang mesra dengan panggilan Oyen yang hangat viral di media sosial ketika ini.
Ingatkan si Oyen je yang buat hal, rupa-rupanya si bulus yang lain pun lebih kurang sama je perangai.
Seperti mana yang berlaku di Thailand baru-baru ini, kehilangan seekor kucing berwarna kelabu hitam yang kembali semula ke pangkuan pemiliknya tiga hari kemudian rupa-rupanya hadir dengan satu kejutan.
Apa tidaknya, kemunculan kucing peliharaan yang hilang itu turut disertakan dengan sekeping nota ‘hutang’ sebelum dikongsi oleh pemiliknya di dalam Facebook pada 27 Oktober lepas bersama kapsyen ‘hilang selama tiga hari dan kembali dengan hutang. #catslaves’, lapor portal Siakapkeli.
Memetik laporan asal portal Mothership, kucing itu pada mulanya kelihatan malu-malu dan berasa lega kerana telah bertemu kembali tuannya.
Namun setelah diperiksa dengan lebih dekat, kucing itu nampaknya tidak pulang dengan tangan kosong apabila kembali membawa satu catatan nota yang tergantung pada lehernya.
Catatan di atas kadbod itu tertulis: “Kucing anda terus memerhatikan ikan tenggiri di gerai saya, jadi saya memberinya tiga ekor. Aunty May di lorong no.2.″
Pada posting Facebook berkenaan, majoriti netizen memuji Aunty May kerana menjaga kucing terbabit sepanjang tidak pulang semula ke rumah serta mempunyai rasa simpati terhadap si comel itu.
Sumber : Siakapkeli