SEOUL: Pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan mengesahkan negara itu kini berada dalam gelombang kedua wabak COVID-19.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC) sebelum ini memberi amaran gelombang pertama wabak itu di Korea Selatan tidak pernah berakhir.
“Di kawasan metropolitan iaitu Seoul, Incheon dan Gyeonggi, gelombang pertama adalah dari bulan Februari hingga April.
“Kemudian kita melihat gelombang kedua yang bermula sejak musim cuti pada bulan Mei,” kata Pengarah KCDC, Jeong Eun-kyeong.
Penghujung Februari lalu, Korea Selatan melaporkan lebih 900 kes sehari, sekaligus menjadi negara paling teruk terjejas selepas China.
Kempen penjejakan kontak dan pengujian intensif kemudiannya berjaya mengurangkan bilangan kes menjadi satu digit pada akhir April.
Tetapi ketika negara itu mengumumkan akan melonggarkan perintah berkurung pada awal Mei, kes baharu meningkat, sebahagiannya berpunca daripada anak-anak muda yang mengunjungi kelab malam dan bar di Seoul pada hujung minggu.
“Kami pada awalnya meramalkan bahawa gelombang kedua akan muncul pada musim gugur atau musim sejuk. Ramalan kami ternyata salah.
“Selagi penjarakan sosial diambil mudah, kami percaya kes jangkitan akan berterusan,” kata Jeong.
Sehingga tengah malam Ahad, Korea Selatan melaporkan 17 kes jangkitan baharu, sedikit menurun daripada dua hari sebelumnya yang masing-masing mencatat 48 dan 67 kes.
Korea Selatan setakat ini mencatat 12,438 kes jangkitan dengan 280 kematian.