BENGANG tidak mendapat layanan batin daripada isterinya, seorang lelaki di Kalimantan Timur, Indonesia mengamuk sebelum mencederakan wanita itu dan bayi mereka, lapor Harian Metro.
Memetik laporan asal portal Tribunnews, insiden itu berlaku di Jalan KH Damanhuri, apabila suspek berusia 19 tahun memukul isterinya yang berusia 16 tahun serta anak mereka berusia empat bulan, pada Rabu lalu.
Ketua Forum Perkongsian Polis dan Masyarakat (FKPM) Pelita, Marno Mukti berkata, lelaki itu mengamuk dan mengancam isterinya dengan pisau.
Beliau berkata, suspek bertindak sedemikian selepas wanita itu menolak pelawaannya mengadakan hubungan intim.
“Suspek turut menendang bayi sebelum anak kecil itu terpelanting ke bilik mandi.
“Wanita itu sempat melarikan diri sebelum meminta bantuan penduduk setempat.
“Dia juga sempat menghubungi rakannya di FKPM, lalu pihak kami menahan suspek sebelum lelaki berkenaan dihantar ke Balai Polis Samarinda,” katanya.
Sementara itu, Polis Samarinda, Teguh Wibowo mengesahkan, suspek sudah ditahan dan berdepan tindakan undang-undang.
“Motif amukan itu kerana suspek bengang isterinya menolak berhubungan intim.
“Berdasarkan keterangan isterinya, suspek juga dipercayai kerap marah tanpa sebab,” katanya dalam portal Kompas.
Susulan kejadian, wanita terbabit dan anaknya yang mengalami cedera pada kepala dan anggota badan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.
Sumber: Harian Metro