TIDAK berhati perut! Tindakan seorang wanita memerangkap seekor kucing di dalam mesin basuh membawa padah apabila dia ditahan polis selepas video kejadian tular.
Wanita yang dipercayai berusia 28 tahun itu ditahan selepas menakut-nakutkan kucing peliharaannya kerana meninggalkan najis di tempat yang tidak sepatutnya, lapor Kosmo.
Menerusi rakaman yang dikongsikan di media sosial, kucing itu dilihat berada di dalam sebuah mesin basuh sebelum penutupnya tertutup secara mengejut.
Mesin itu kemudiannya dihidupkan selama kira-kira sepuluh saat dengan kucing itu menekan hidungnya pada penutup mesin basuh tersebut.
Ia dibebaskan selepas penutupnya terbuka dan melompat keluar dari mesin itu dengan pantas.
Dia yang tinggal di bandar Tin Shui Wai, Hong Kong ditahan di Balai Polis Yuen Long kerana disyaki melakukan kekejaman terhadap haiwan.
Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) yang memfailkan laporan kepada pihak berkuasa berkata, mereka menerima beberapa aduan yang dikaitkan dengan video itu.
“SPCA menentang sebarang kelakuan tidak bertanggungjawab oleh pemilik yang boleh menyebabkan kemudaratan atau kecederaan kepada haiwan mereka,’’ kata seorang jurucakap.