SEORANG jutawan berketurunan India, Ramit Sethi memberikan nasihat kontoversi supaya hanya menyewa rumah kerana kosnya lebih murah berbanding memiliki kediaman sendiri, lapor portal berita Money Control semalam.
Sethi yang memiliki kekayaan bersih sekitar AS$20 juta (RM 88.75 juta) hingga AS$25 juta (RM110.90 juta) juga merupakan penulis buku, I Will Teach You To Be Rich yang disenaraikan sebagai karya terlaris oleh akhbar New York Times.
“Saya bosan dengan obsesi buta kepada pemilikan rumah di Amerika,” Sethi memberitahu program stesen penyiaran CNBC berjudul Make It, sambil menambah, pemilikan kediaman adalah pelaburan mahal yang tidak boleh dipandang ringan tetapi idea bahawa hartanah sentiasa pelaburan hebat telah menjadi ‘agama’ di AS.
Sebagai contoh, Sethi berkata, dia sendiri menyewa sebuah apartmen di Manhattan.
Katanya, apartmen yang dijual di sebelah unitnya mempunyai pemandangan, keluasan persegi dan bilangan bilik tidur yang sama dengan kediamannya.
Namun, apabila dia mengira kos, perbelanjaan bulanan pemilikan apartmen itu ternyata sekitar dua kali ganda lebih tinggi berbanding menyewanya.
“Ini adalah satu contoh bagaimana menyewa kadang kala boleh menjadi keputusan kewangan yang lebih baik daripada membeli,” kata Sethi.
Memetik laporan Kosmo! dia telah menyewa rumah di beberapa pasaran sewa paling mahal di AS termasuk San Francisco, New York dan Los Angeles.
Sumber gambar – VOCKET | Sumber laporan – Kosmo!