PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menjadi orang yang pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 di negara itu yang berlangsung di Istana Presiden, Jakarta hari ini, lapor Kosmo!
Memetik laporan asal laman berita Tribun News, suntikan vaksin imunisasi itu disiarkan secara langsung melalui laman YouTube Sekretarian Presiden pagi tadi.
Selain Jokowi, beberapa tokoh dan pemimpin lain turut menerima suntikan berkenaan termasuk Ketua Umum Kesatuan Doktor Indonesia, Dr. Daeng M. Faqih; Sekretariat Jeneral Majlis Ulama Indonesia, Dr. H. Amiesyah Tambunan serta Panglima Angkatan Tentera Indonesia, Jeneral Hadi Tjahjanto.
Selain itu, pelakon dan pengacara terkenal Indonesia, Rafi Ahmad turut dilaporkan mendapat suntikan vaksin berkenaan.
Sementara itu, program vaksinasi yang diadakan dalam beberapa sesi tersebut menyaksikan Jokowi melakukan saringan kesihatan oleh petugas terlebih dahulu sebelum dibawa ke bilik khas untuk menerima suntikan.
Doktor Rasmi Presiden, Profesor Abdul Muthalib yang bertanggungjawab memberikan suntikan vaksin itu kepada Jokowi berkata, pemimpin berkenaan dikatakan tidak berasa sakit ketika disuntik dan berada dalam keadaan sihat.
“Selepas saya berikan suntikan kepada Presiden Jokowi, beliau mengatakan tidak berasa sakit walau sedikit pun.
“Syukur, Alhamdulillah semua sudah selesai,” katanya.
Sumber: Kosmo!