SEORANG lelaki positif COVID-19 nekad melarikan diri dari pusat kuarantin semata-mata untuk menyebarkan wabak itu kepada penduduk di kampungnya.
Lelaki yang dikenali sebagai Salamat Sianipar dikatakan dengan sengaja telah meludah di atas tapak tangan dengan niat untuk menyebarkan COVID-19 kepada penduduk kampung Pardomuan, Silaen, Toba di Sumatera Utara, lapor Kosmo.
Tindakan lelaki tersebut juga mencetuskan kemarahan penduduk.
Lebih mengejutkan, isteri Salamat yang dikenali sebagai Risma, mengizinkan suaminya dipukul orang ramai.
“Suami saya cuba untuk menyebarkan virus Covid-19 kepada orang ramai jadi dia terpaksa dipukul.
“Pada 21 Julai lalu, Salamat telah melarikan diri daripada pusat kuarantin dan pulang ke rumah akibat tertekan kerana dijangkiti Covid-19. Dia kemudiannya keluar berkeliaran di kawasan kampung, meludah tapak tangannya dan cuba memegang penduduk setempat sambil menjerit dirinya negatif Covid-19,” kata Risma.
Salamat bagaimanapun berjaya lari ke dalam hutan semasa cubaan memukulnya.
Dia kemudian berjaya ditemui pada 23 Julai lalu kira-kira pukul 10 malam waktu tempatan dan dibawa ke Hospital Porsea, Sumatera Utara.
Saudara kepada Salamat, Erik Sianipar berkata tindakan mereka memukul bukan untuk menganiayanya namun mereka hanya mahu menenangkan lelaki itu memandangkan dia positif Covid-19.
Sumber: Kosmo