SEORANG remaja perempuan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital Oregon, Amerika Syarikat akibat melecur teruk dialami setelah mencuba aksi di laman sosial TikTok.
Destini Crane, 13 tahun, terbakar di bahagian tangan dan leher selepas kejadian itu pada 13 Mei lepas, lapor ABC News.
Remaja berkenaan dikatakan mencuba aksi melukis pada cermin bilik mandi menggunakan cecair mudah terbakar sebelum ia meletup dan mengakibatkan dia mengalami melecur tahap ketiga.
“Saya sedang duduk di ruang tamu ketika terdengar Destini menjerit. Saya terus ke bilik mandi dan terlihat api sedang marak,” kata ibu mangsa, Kimberly.
Destini dikejarkan ke hospital dan diletakkan dalam ICU dan telah menjalani tiga pembedahan graf kulit dan dijangka akan hanya mampu menggerakkan tangan serta lehernya selepas beberapa bulan.
Global Web Index mendapati, sehingga Februari 2020, dianggarkan TikTok memiliki 800 juta pengguna aktif diseluruh dunia dan di Amerika Syarikat sahaja pada tahun 2020, penggunaan TikTok meningkat dua kali ganda kepada 82 minit sehari pada bulan Februari berbanding 38 minit pada bulan Mei 2019.
Data tersebut juga menunjukkan 90 peratus pengguna TikTok mengunjungi aplikasi lebih dari sekali sehari dan masa yang dihabiskan dalam aplikasi, menurut TikTok, hampir 5 minit, iaitu lebih lama daripada Snapchat dan Instagram.
Sumber: Awani