Ketegangan di Gaza: Hamas, Israel setuju gencatan senjata tamatkan

PEJUANG Hamas dan Zionis Israel bersetuju mengadakan gencatan senjata berkuat kuasa awal pagi Jumaat waktu tempatan, sekali gus berpotensi menamatkan pertempuran yang berlangsung selama 11 hari.

Perkara itu disahkan jurucakap Hamas dan Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Khamis.

Kenyataan pejabat Netanyahu berkata, kabinetnya sebulat suara menerima saranan yang diusulkan Mesir untuk mengadakan gencatan senjata tanpa syarat.

Bagaimanapun, beberapa minit selepas pengumuman itu dibuat, kedua-dua belah pihak tetap meneruskan serangan dengan beberapa roket dilihat terus dilancarkan.

Salah seorang anggota kabinet Israel mengatakan gencatan senjata itu akan berkuat kuasa jam 2 pagi Jumaat waktu tempatan (7 pagi waktu Malaysia), kira-kira tiga jam selepas pengumuman dibuat.

Di tengah desakan global yang semakin meningkat untuk menghentikan pertumpahan darah di Gaza, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mendesak Netanyahu meredakan ketegangan sementara Mesir, Qatar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencari penyelesaian.

Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi sebelum ini mengarahkan dua delegasi keselamatan ke tanah haram Israel dan Wilayah Palestin untuk berusaha mengadakan gencatan senjata.

Setakat ini, perang sengit antara kedua-dua belah pihak yang bermula 10 Mei itu telah mengakibatkan 232 nyawa rakyat Palestin terkorban, termasuk 65 kanak-kanak.

Angka korban Zionis Israel pula disahkan setakat ini seramai 12 orang dengan ratusan cedera dalam serangan roket Hamas.

Pada Khamis, Biden membincangkan situasi Gaza bersama Presiden Mesir dan White House menyatakan laporan gerakan menuju gencatan senjata adalah positif.

Sumber: Astro AWANI