SEORANG lelaki di Islamabad direjam sehingga mati lalu digantung pada sebatang pokok selepas dia dituduh membakar kitab suci al-Quran di dalam sebuah masjid di Pakistan.
Insiden itu berlaku di Kampung Hutan Derawala, 275 kilometer dari bandar Lahore pada Sabtu lalu, lapor Kosmo.
Menurut penjaga masjid berkenaan, Mohammed Ramzan berkata, dia melihat kepulan asap dari dalam masjid lalu bergegas dan mendapati senaskah al-Quran hangus dibakar.
Lelaki itu juga dikatakan cuba membakar naskah lain sehingga dia merayu kepada suspek untuk berhenti sebelum menghubungi pihak polis.
Setibanya di lokasi kejadian, anggota-anggota polis mendapati lelaki tersebut dikelilingi oleh orang ramai yang marah, lantas mereka cuba untuk memisahkannya, kata jurucakap polis, Chaudhry Imran.
Bagaimanapun orang ramai mula membaling batu ke arah polis yang terpaksa berundur sebelum anggota tambahan dikerah ke tempat kejadian.
Ketika polis cuba campur tangan, kumpulan perusuh merejam lelaki tersebut sehingga mati dan menggantung mayatnya pada sebatang pokok.
Mangsa yang berumur 41 tahun dikenal pasti sebagai Mushtaq Ahmed dan berasal dari sebuah kampung di daerah Khanewal dalam wilayah Punjab.
Ketua polis Punjab, Munawar Gujjar berkata, lelaki itu dipercayai menghidap sakit mental sejak 15 tahun yang lalu. Dia sering hilang dari rumah dan akan makan apa sahaja yang boleh dimakan.
Polis sedang mengumpul dan menganalisis rakaman dari sekitar tempat kejadian untuk mengenal pasti mereka yang terlibat.
Kira-kira 80 lelaki yang tinggal di kejiranan tersebut ditahan setakat ini dengan polis menganggarkan, seramai 300 penduduk terlibat dalam insiden itu.
“Kami tidak akan bertolak ansur terhadap sesiapa sahaja yang mengambil undang-undang di tangan sendiri, manakala mereka yang terlibat akan dikenakan hukuman keras,’’ kata Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dalam satu kenyataan di laman Twitter.
Imran turut mengecam serangan yang berlaku ke atas Mushtaq dan menganggap polis gagal menjalankan tugas mereka.
Beliau turut meminta laporan daripada ketua polis Punjab mengenai tindakan yang akan diambil terhadap pelaku-pelaku tersebut.
Sumber: Kosmo