AHLI politik Kanada, William Amos tampil membuat permohonan maaf melalui Twitter dan umum mengundur diri buat sementara waktu kerana tidak sengaja dirakam membuang air kecil di dalam sebuah cawan ketika satu sidang tertutup Parlimen secara maya.
Beliau berkata, “Malam tadi, ketika menghadiri prosiding Dewan Rakyat secara maya, dalam sidang tertutup, saya secara tidak sengaja telah membuang air kecil tanpa menyedari diri saya dirakam melalui kamera”.
“Saya mohon maaf dan sangat malu dengan tindakan saya. Walaupun ia tidak disengajakan dan tidak dipertontonkan kepada orang ramai, insiden ini tidak dapat diterima dan saya memohon maaf tidak terhingga”, jelasnya lagi.
Ahli Parlimen dari parti Liberal itu juga menambah bahawa dia akan mengundurkan diri buat sementara waktu daripada jawatan sebagai Setiausaha Parlimen dan tugasan dalam jawatankuasa untuk mendapatkan bantuan.
Dalam pada itu, beliau juga akan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen dan bersyukur dapat membawa suara akar umbi di Parlimen.
“Saya gembira dengan sokongan daripada staf dan kasih sayang keluarga saya,” tulis Amos dalam kenyataannya di Twitter.
Walau bagaimanapun, menurut media tempatan, ini bukanlah kali pertama Amos ‘dimalukan’ secara dalam talian.
Terdahulu, satu kejadian memalukan berlaku dimana dirinya dirakam dalam keadaan berbogel semasa sidang maya dijalankan.
Dalam kejadian itu, Amos mendakwa sedang bersiap untuk memakai pakaian rasmi selepas berjoging dan tidak menyedari tindakannya itu sedang dirakam.
Sementara itu, pembangkang daripada parti Konservatif menyelar tindakan Amos yang disifatkan “tidak dapat diterima” dan mempersoalkan sama ada kejadian itu benar-benar tidak disengajakan.
Sumber: Awani