PENGASAS bersama dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Bill Gates mengumumkan perpisahan dengan isterinya, Melinda selepas 27 tahun bersama. Hal itu, dikongsikan dalam satu kenyataan di Twitter, pasangan itu memaklumkan sudah tiada lagi persefahaman.
Keputusan itu diambil setelah perbincangan mendalam diadakan di antara mereka berdua. Walau bagaimanapun, Bill dan Melinda menegaskan akan terus bekerjasama dalam Yayasan Bill dan Melinda Gates bagi membantu mereka yang memerlukan.
Untuk pengetahuan, pasangan ini bertemu pada 1980-an ketika kedua-duanya bekerja di Microsoft. Melinda kemudian berkahwin dengan lelaki keempat terkaya di dunia itu pada tahun 1994. Mereka dikurniakan tiga anak iaitu Jennifer Katharine, Phoebe Adele dan Rory John Gates.
Yayasan Bill dan Melinda Gates telah menderma sekurang-kurangnya AS$1.75 bilion untuk program mengekang wabak COVID-19.