BERANG dipanggil busuk dan murahan, seorang wanita mengheret kakak iparnya ke mahkamah atas tuduhan memfitnah, lapor Harian Metro.
Memetik laporan asal portal The Straits Times, wanita berstatus janda yang mengambil alih perniagaan pengedaran kereta milik keluarga mendiang suaminya itu memberitahu Mahkamah Tinggi di Singapura, saudaranya itu turut membaling pisang kepadanya ketika pengebumian bapa mentuanya.
Lim Siew Ling, 48, memberitahu mahkamah kakak iparnya Neo Choon Sian menghinanya sebagai murahan menggunakan bahasa Mandarin dan bermaksud seolah-olah dia adalah wanita tidak bermoral serta mempunyai ramai pasangan seks.
Bagaimanapun, peguam Neo berpendapat apa yang dikatakan anak guamnya bermaksud ‘pisang busuk’.
Lim juga mendakwa Neo mengatakan dia menyalahgunakan sejumlah besar wang dari syarikat itu dan membayar dirinya dengan gaji yang tinggi.
Lim memfailkan saman terhadap Neo dan suaminya, Heng Hong Hing, kedua-duanya berusia 57 tahun kerana memfitnahnya pada Mei 2018 dan kejadian berikutnya di pejabat Prime Cars Credit (PCC) pada Jun 2018 dan Ogos 2018.
Tuntutan fitnah itu timbul daripada perselisihan dalam pegangan saham PCC, sebuah syarikat yang ditubuhkan pada 2006 oleh suami Lim, Jacky Neo.
Dia memegang 40 peratus saham, ibu Neo memegang 35 peratus, sementara adiknya Neo Yan memegang 25 peratus.
Dalam saman fitnahnya, Lim mengatakan selepas kematian suaminya pada 2013, dia mewarisi sahamnya dan mengambil alih operasi PCC yang menguruskan penjualan dan pembiayaan kenderaan.
Pada 2015, dia menubuhkan entiti lain, yang disebut Prime Cars Leasing (PCL) untuk mengendalikan penyewaan kereta.
Peguam Lim, Joseph Ignatius, dalam pernyataan pembukaannya mengatakan pada Mac 2018, saudara perempuan Neo menuntut supaya Lim menyerahkan kawalan syarikat itu kepada mereka dan ingin membelinya.
Pada Mei 2018, bapa mentua Lim meninggal dunia dan upacara diadakan selama lima hari.
Lim mengatakan pada hari pertama kematian bapa mentuanya, Neo Choon Sian mengambil kesempatan untuk memperlekehkannya di depan rakan perniagaan dan pelanggan.
“Plaintif dihina, terluka dan malu dengan kata-kata defendan pertama, yang memudaratkan reputasinya,” kata peguamnya.
Sumber: Harian Metro