JAKARTA – Seorang wanita berkongsi detik cemas dalam hidupnya apabila dia diberi ‘ujian’ oleh bakal ibu mentuanya yang menyuruh dia memegang seekor anak kucing, lapor portal berita Okezone hari ini.
Berdasarkan video yang dimuat naik di laman TikTok, wanita berkenaan memberitahu bahawa dia takut kepada haiwan tersebut.
Namun, bakal ibu mentuanya dilihat dengan santai menggendong anak kucing lalu menarik tangan wanita tersebut agar menyentuh haiwan itu.
Disebabkan rasa takut, wanita tersebut beberapa kali menarik tangannya, namun dia tetap mencuba untuk menyentuh haiwan itu.
“Diuji kebolehan memasak (tanda pangkah), diuji perlu berani pegang anak kucing (tanda betul),” demikian menurut keterangan pada video tersebut.
Selepas beberapa saat, wanita itu mula berani memegang bulu anak kucing itu meskipun hanya menggunakan satu jari.
Namun, setiap kali anak kucing mengeluarkan suara, wanita itu menarik semula tangannya kerana ketakutan, sehingga dia akhirnya berjaya membelai haiwan tersebut dengan tenang.
Video tersebut menjadi perhatian pengguna media sosial yang berasa terhibur dengan aksi gadis itu.
“Sama dengan saya. Setiap kali kucing lalu di hadapan saya, saya pasti akan berasa takut. Bukan benci tetapi betul-betul takut kepada kucing,” kata seorang netizen. – AGENSI